There was an error in this gadget

Wednesday, May 4, 2011

Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim

Sultan Abu Bakar ibni Ibrahim
Sultan Abu Bakar ibni Ibrahim (Tulisan Jawi: المرحوم سلطان سير ابو بكر ابن المرحوم تماڠڬوڠ دايڠ إبراهيم سري مهاراج جوهر ) (lahir 3 Februari 1833 - mangkat 10 Mei 1895) telah menggantikan bapanya Temenggong Daeng Ibrahim bagi mentadbir Johor dari 1862-1895. Beliau berumur lebih kurang 28 tahun semasa bapanya meninggal dunia. Beliau memakai gelaran Maharaja Johor pada 1868. Beliau ialah sultan pertama Johor moden.

Temenggung Abu Bakar adalah seorang tokoh dan pemerintah Johor yang amat bijaksana. Beliau telah memajukan dan mengukuhkan kerajaan Johor di bawah Dinasti Temenggung dan membuat hubungan diplomasi dengan kerajaan Riau-Lingga. Pada 1 Januari 1866, beliau telah menukarkan nama Tanjung Puteri atau Iskandar Puteri kepada Johor Bahru dan menjadikannya pusat pentadbiran kerajaan Johor. Temenggung Abu Bakar memberi galakan kepada orang Cina membuka ladang lada hitam dan gambir dipanggil "Sistem Kangcu".

Temenggung Abu Bakar telah memajukan Johor dengan menggabungkan tradisi Melayu dengan kosmopolitan Barat dan digelar Bapa Johor Moden. Pentadbirannya yang cekap dan tersusun diakui sendiri British, lantas baginda tidak akan melantik pegawai British sebagai penasihat.

Beliau telah mendapat pendidikan Barat sejak kecil lagi. Oleh itu, beliau sangat terpengaruh dengan cara pemerintahan dan pentadbiran Barat. Baginda juga telah membuat banyak lawatan ke negara-negara Eropah terutamanya ke England, untuk mencari pengalaman dan mempelajari cara orang Barat memerintah dan mentadbirkan negara. Kebijaksanaannya menyebabkan baginda dihormati oleh pedagang dan pemerintah British. Baginda juga bersahabat baik dengan Ratu Victoria, ratu Great Britain pada masa itu. Ratu Victoria telah mengurniakan gelaran Maharaja Johor kepada Temenggung Abu Bakar pada tahun 1868 dan seterusnya beliau memakai gelaran Maharaja Johor.

Kemudiannya, baginda telah menguasai seluruh wilayah Johor, iaitu setelah Sultan Ali mangkat pada tahun 1877. Selepas Sultan Ali mangkat, Tengku Alam (anak Sultan Ali) membantah pemerintahan Muar/Kesang diserah sementara kepada Maharaja Abu Bakar dan melancarkan "Perang Jementah" pada 1879 tetapi gagal.

Baginda juga pernah merasmikan Penjara Johor Bahru pada tahun 1883.
Pada 1885, Johor telah menandatangani perjanjian persahabatan dengan kerajaan British. Melalui perjanjian ini, kerajaan British mengiktiraf Johor sebagai sebagai sebuah negeri yang bebas dan berdaulat. Maharaja Abu Bakar juga diiktiraf sebagai Sultan Johor. Baginda bersetuju menerima seorang pegawai British yang bertugas sebagai Konsul British di Johor dan bukan sebagai penasihat. British juga bersetuju melindungi Johor jika berlaku sebarang ancaman dari luar.

Maka mulai 1 Julai 1886, baginda memakai gelaran sultan dengan gelaran Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah. Pada 14 April 1895, Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah menubuhkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah mangkat di Eropah pada 10 Mei 1895 dan disemayamkan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...